2012-01-21

rimbun keampunan


Ya Allah.
Pagi ini basah seperti selalu.
Embun di daun rimbun nan menjalar.
Rumput basah tiada kaku-Kaki lembut menggesel-menyirap kalbu
Dan hati ini,
Turut basah-zikir padaMu spontan melantun merdu

Semalam.
Ada cerita panjang.
Cinta dua hati-tiga segi-empat segi-bersegi-segi
Hati yang satu ini Kau campakkanlah pada yang berhak
Agar cinta ini jatuh pada yang hak
Cantum menjadi satu-sudah lama menunggu.

Kelmarin
Ada kisah -mengajar diri dan hati
Lari merempuh pagar-dosa berantakan
Terbang menuntun hati-taubat berpanjangan
Usaha dan usaha-hati dan jasad penat lelah tidak mahu berhenti

Laksana rajawali terbang tinggi
Hentian dan cuaca silih berganti
tetap juga terbang tinggi
Biar sayap patah
tetap tabah

Allah-kembaraku menujuMu
Kembalikan daku kepadaMu dalam keadaan yang paling Kau sukai.

2012-01-18

fana

dunia ini fana
tapi itulah yang dikejari

umur ini singkat cuma
tapi itulah yang tak ditaubati

hidup ini sementara
tapi itulah yang tak disedari

~serasa diri
bumi wakafan MADI
18 Januari 2012

2012-01-12

dik II

dik
kutulis warkah ini disaat bumi dinodai titisan hujan yang ghairah
angin dingin mengunyah tulang temulangku tanpa aku seru
matahari belum bangun dari tidurnya meski sudah berkali si jantan berkokok
aduh, gelap dan suram rasanya.

dik,
aku berjalan di lorong kehidupan yang panjang
busuk dan tengik baunya membuat aku kelemasan
dan kini, lorong-lorong itu semakin membusuk dan sempit
najis fitnah dijaja merata oleh pengemis-pengemis dunia

dik,
pengemis itu aku lihat bukan kepalang ramainya
bertali leher,dan berkemeja kemas merayau disetiap penjuru lorong
rumahnya bukan teratak menunggu runtuh tetapi istana berlian yang megah

dik,
aku yakin kau jua pasti melalui lorong-lorong seperti ini
berwaspadalah dik dalam melangkah
usahlah kau berjalan sendirian parah akibatnya
anjing-anjing belaan syaitan sedang kelaparan
menunggu-nunggu untuk mencarikkan tubuhmu
syaitan pula bersiul-siul menyanyikan rentak irama agar kau bersama menari

dik,
inilah pesananku yang mungkin menjadi pesanan terakhir yang sempat aku muntahkan untukmu
lorong itu pasti kau lalui,maka laluilah dengan teman-teman akhiratmu
sabar dan teruslah bersabar meski kakimu tertusuk duri dan sembilu
teguh dan teruslah teguh meski kau dihidang jutaan kekayaan oleh pengemis dunia
penghujung itu pasti kau tapaki.

al faqir ilallah
12 Januari 2012
Bumi wakafan MADI