2010-10-31

Menjadi diri

Apa erti hidup
Andai hanya berdiam diri
Pada kejahilan yang bersarang
Pada kezaliman yang mengganas
Pada kesombongan yang meninggi
Pada dunia yang racau

Aku disini
Memestikan jiwaku
Menjadi pemberani
Bukan menjadi hero
Bahkan menjadi diri
yang tahu harga Iman

Jiwa dan hatiku bersatu
Mengayam benang kekentalan
Menahan caci dan maki
dari manusia yang tidak memahami

Aku mesti berubah
Menjadi lebih berani
Bukan untuk pujian
Bahkan untuk Islam
Dunia makin tenat
Islam merempat dihati ummat sendiri

Ya Allah, bantulah hambaMu ini!

~dari gema suara
junaidiahmad
Sg Petani, Kedah.

2010-10-28

Untitled II

Embun pagi
Tidak jernih lagi
Dinodai maksiat dan dosa
Makhluk bernama manusia

Ayuh sahabat
kita sucikan ia kembali
Usah pejamkan matamu
Sudah tikanya kita bangkit

Embun memanggil kita

~dari gema suara
junaidiahmad
Bangi, Selangor

2010-10-22

Pohon hijau

Cuba perhatikan wahai sahabat,
Benih kecil yang kita tanam dahulu
Kini menjadi pepohon hijau
Indah lagi mendamaikan

Cuba perhatikan wahai sahabat
Dicelah daun hijau yang tersenyum
Terselit si daun kering
Mengigil memegang ranting kecil
Itulah generasi awal

Cuba perhatikan wahai sahabat
Kala angin menyapa pohon itu
Bukan hanya si daun kering gugur
Bahkan daun hijau turut tergoda
Lantas jatuh ketanah
Dimamah ulat dan cacing

Cuba perhatikan wahai sahabat
Itulah kita
Tanpa menunggu menjadi daun kering
Ketika hijau terkadang ada yang jatuh
Lantas, mengapa kita enggan mencari bekal?

Hanya yang berakal mampu berfikir.

~dari gema suara
junaidiahmad
22 Okt 2010
Kangar,Perlis

2010-10-21

Manusia memang begitu

Tika hujan
Si awan hitam memuntahkan air
Setelah sekian lama dipendam
Patuhnya ia pada perintah Ilahi
Subhanallah

Si katak pula bertasbih memuji Tuhan
Bersyukur atas segala pemberianNya
Alhamdulillah

Lidah si manusia pula kumat-kamit
Disangka bertasbih dan bersyukur
Untaian rungutan rupanya
Cuba membunuh sang hujan dengan makian dan celaan
Pinta ia berhenti
Astaghfirullah

Tika panas
Si matahari garang
Sinar dipancar kebumi
Taat tanpa sombong
Subhanallah

Lalang hijau bergoyang riang
Gembira bukan kepalang
Tuhan kurniakan mereka kekuatan
Lantas ia bertasbih memuji Tuhan
Alhamdulillah

Lidah si manusia pula kumat kamit
Disangka bertasbih dan bersyukur
Untaian rungutan rupanya
Cuba meracun sang matahari dengan celaan
Pinta ia menjauh
Astaghfirullah

Aneh
Manusia memang aneh sekali
Tidak pernah berasa aman dengan pemberianNya
Aneh dan jelek

~dari gema suara
junaidiahmad
Aril 2010
Shah Alam.

2010-10-20

Untitled

diam,
sepi,
tiada lagu seketika.
mengintai damai dalam tenang.

~dari gema suara
junaidiahmad
20 Okt 2010
Taman Terinai II, Bintong.

2010-10-19

Manisnya hempedu

Lumrah sudah dalam kehidupan
Kecewa dan pilu
Hati menjadi kelu
Luka makin parah

Namun saat itu
Bersangka baiklah pada Tuhan
Lalu ukirkan senyuman
Dibibirmu
Biarkan hempedu menjadi madu

~dari gema suara
junaidiahmad
April 2010
Shah Alam

Sejati

Terang mentari menyuluh bumi,
seluas hamparan permaidani sejati,
sesegar haruman udara pagi,
selengkap ciptaan Ilahi,
tapi disebalik semua ini,
tercurah terlimpah darah membasahi,
menyubur tanah yang telah dijanji,
bagi sang wira yang tegak berdiri,
mempertahankan apa yang telah dimiliki,
tapi dimana diri ini,
tidak membantu saudara sendiri,
walau tahu apa yang terjadi,
hinalah kau wahai diri,
tiada maruah dan tiada harga diri,
menanti rebah saatnya nanti.

Karya Zuhair (anak usrahku)
- hadiah hari lahirku katanya.hoho~

~dari gema suara
junaidiahmad
Kangar,perlis.

2010-10-17

Usia

Sang usia merangkak lagi
Tidak berundur sesekali
Padanya membawa berita mati
Bagi mereka yang memerhati

~dari gema suara
Junaidiahmad
17 Okt 2010
Kangar,Perlis

2010-10-13

Saat diuji

Tiga rasa terurai
dalam satu jiwa ini
saat dirimu diuji Ilahi

sedih dan perit
hingga aku kelu tak bersuara
berat bagiku ujian ini
apatah lagi buat dirimu yang menanggung

aku kagum
kau berhati tabah
seperti Sumayyah
yang tidak berganjak walau digoncang kuat
tegar ketika diuji
seperti Khansa
yang hatinya penuh cinta Tuhan
seperti Masyitah
yang hatinya tidak mampu dicairkan dengan api firaun

dan aku bahagia
dalam keperitan ia timbul
kerna aku punyai sahabat sepertimu
dan yang lain
saat ini ukhwah kita teruji
biarlah kita yakinkan pada mereka - ukhwah kita bukan omongan!

dan pada perjuangan yang dengannya kita bernyawa
jangan biarkan ia bantut.
bahkan teruslah melaju
ujian ini buat kita bertambah KUAT.

" perjuangan ini tidak akan berakhir selagi kaki ini tidak memijak lantai Syurga!"


~dari gema suara

junaidiahmad
12 Okt 2010
Taman Muhibbah, Jejawi.

2010-10-12

Pahit Itu Ubat

Mengunyah rasa,
kata,
terkadang pahit,
namun perlu ditelan.
Dihadam.
Kerna pahit itu selalunya ubat.

~dari gema suara
junaidiahmad
Kangar, Perlis.

2010-10-08

Cahaya

-kelam-
jiwa takut
gementar dan menangis
takut pada gelap yang kelam
tapi ia sendirian
tiada yang lain
bertambah takut
tangisan makin kuat
*suara tangisan*

-cahaya-
Oh penyelamat, getusnya
ketakutan lari bagai dikejar hantu
walau sendirian, jiwa damai
tiada lagi tangisan
*ucapan tasbih dan tahmid*

-kelam dan cahaya-
berbeza kondisi
berbeza posisi
tetapi
itu tarbiyah Ilahi
agar jiwa mengerti
rencam hidup ini.
*diam*

~dari gema suara
junaidiahmad
Sept 2010
Taman Muhibbah,Jejawi.

2010-10-07

Kata ajaib

Sepatah kata,
Mampu membina jiwa tegar.

Sepatah kata,
Mampu membunuh sejuta hati.

Sepatah kata,
Mampu mendirikan dunia.

Sepatah kata,
Mampu merobohkan kota.

Oh hanya kerana sepatah kata.

~dari gema suara
junaidiahmad
Ogos 2010
Kangar.

2010-10-04

Saat itu

Kelu
Sang lidah yang dahulunya berbisa
Hunusannya mampu membunuh
Tetapi saat itu
Ia tiada mampu bersuara lagi
Anggota lain pengganti
Menjadi saksi segala amal
Masa dan tempat mula berhikmah

Amal baik manakah yang terlepas dari hitunganNya??
Amal buruk manakah yang tidak dihisap di atas mizanNya??

Wahai manusia,
Aku berpesan pada diri aku
Dan juga dirimu
Kerna kita manusia
Yang sering lupa

Wahai manusia,
Waspadalah pada setiap langkahmu!!

Saat itu pasti hadir!

~dari gema suara
junaidiahmad
November 2009
Kangar.

2010-10-01

Pesanan Tokwan

Tokwan pesan
ambil Quranmu
dengan wuduk sempurnamu
baca dengan fasih
baca juga terjemahannya
berkali-kali

agar mu faham
apa yang dilaksanakan
dalam hari-harimu
yang diperintah mu lakukan
yang dilarang mu tinggalkan

bukan mu faham
apa nak dipenglipurlarakan
dalam puisi-puisimu
nanti ia mencelamu
malaikat jua mencelamu
maka celakalahmu

aku patuh tanpa derhaka

~dari gema suara
junaidiahmad
16 Sept 2010
Gelugor Raja, Kuala Terengganu.